Wednesday, September 19, 2007

PERBINCANGAN BERKAITAN SAHSIAH


Sahsiah adalah merupakan kalimah Arab dari kata dasar " شخص" bermaksud seseorang. Sahsiah memberi maksud sejumlah sifat yang membezakan keperibadiannya dengan yang lain[1]. Kalimah ini telah diguna pakai dengan meluas dalam bahasa Melayu yang bermaksud keperibadian atau akhlak.

Masalah sahsiah atau akhlak adalah merupakan masalah global yang dihadapi oleh seluruh umat dalam dunia hari ini. Mengikut ajaran Islam bahawa sahsiah yang mulia adalah faktor utama yang menyumbangkan kepada pembangunan satu-satu umat dan negara. Akhlak yang mulia akan membentuk peribadi umat sebagai manusia yang berfikiran, manusia contoh untuk menuju ke arah kehidupan yang sempurna di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Apabila melihat kepada suasana masyarakat dunia hari ini, ternyatalah bahawa dunia sekarang sedang menghadapi krisis moral atau akhlak yang amat tenat. Nilai-nilai kemanusiaan dan kebahagiaan telah dan sedang terancam. Pertimbangan dan penilaian yang digunakan oleh masyarakat dan individu dalam menilai kebaikan dan keburukan tidak lagi berlandaskan landasan yang sepatutnya, malah kebanyakannya menurut kehendak hawa nafsu yang dilahirkan oleh fahaman kebendaan semata-mata.



[1] ‘Alī al-Qāsimī, Ahmad Mokhtār ‘Umar, Muhyi al-Dīn Sobīr (1989), al-Mujam al-‘Arabi al-Asāsī, Tunisia: Lārousse, h. 674

No comments: