Wednesday, September 19, 2007

Pengertian Tasawwur Islam

Istilah Tasawwur Islam adalah merupakan satu ungkapan yang tidak asing lagi dalam penggunaan masyarakat Islam di Malaysia. Tasawwur bermaksud suatu gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara. Perkataan ini berasal dari kalimah Arab yang memberi beberapa maksud;

i.Suatu tanggapan terhadap rupa sesuatu yang dapat dikhayalkan.

ii.Cuba memberi gambaran terhadap sesuatu.

iii.Memberi gambaran yang sebenar terhadap sesuatu.

Tasawwur juga bererti menghasilkan rupa sesuatu dalam akal. Pengertian kalimah Tasawwur berbeza-beza mengikut disiplin ilmu yang tertentu. Tasawwur di sisi ahli falsafah bermaksud suatu bentuk pemikiran yang tergambar dalam akal manusia mengenai alam dan kehidupan. Ahli psikologi pula berpendapat bahawa Tasawwur ialah menggambarkan tentang suatu perkara di dalam akal tanpa melihat atau berinteraksi dengannya.[1]

Terdapat percubaan untuk memelayukan istilah Tasawwur Islam seperti menterjemahkannya kepada ' Pandangan Hidup Islam' yang merupakan terjemahan istilah Inggeris iaitu Islamic World-View. Walau bagaimanapun Prof. Dr. Harun Din berpendapat adalah lebih baik istilah Tasawwur Islam dikekalkan mengikut sebutan asal bahasa Arab yang maksudnya lebih tepat.[2]

Tasawwur amat penting dalam kehidupan manusia kerana sikap dan tindakan adalah lahir dari tasawwurnya terhadap kehidupan ini. Tasawwur yang betul akan melahirkan tindakan yang betul. Begitu juga jika sebaliknya. Perbezaan tasawwur adalah berpunca daripada banyak aspek antaranya ialah latarbelakang pendidikan yang mempengaruhi penguasaan ilmu seseorang terhadap Islam.

Oleh yang demikian, Islam telah memberi perhatian yang berat terhadap pendidikan. Ini adalah untuk memastikan setiap insan mempunyai tasawwur dan pengetahuan yang jelas terhadap hakikat kehidupan di atas muka bumi ini.



[1] ‘Alī al-Qāsimī, Ahmad Mokhtār ‘Umar, Muhyi al-Dīn Sobīr (1989), al-Mujam al-‘Arabi al-Asāsī, Tunisia: Lārousse, h. 755.

[2] Haron Din (1992), Tasawwur Islam, Shah Alam: Pustaka Hizbi, h. 2

No comments: