Thursday, September 20, 2007

Wednesday, September 19, 2007

MASALAH SAHSIAH DAN MORAL DI KALANGAN PELAJAR


Alam persekolahan merupakan satu peringkat umur yang mencabar dan paling kritikal. Pelajar mula mencari dan cuba membentuk identiti diri, mencari haluan dan menyemai keyakinan diri bagi menentukan apa yang diingini dapat dicapai. Dalam mencari dan membentuk identiti inilah, mereka yang tersilap langkah akan terjebak ke dalam pelbagai gejala negatif seperti merokok, menagih dadah, pelacuran dan sebagainya.

Beberapa kes berikut yang dipetik dari laporan-laporan media sebagai bukti kepada runcingnya masalah sahsiah pelajar dan remaja di Malaysia secara umum: Tajuk berita dalam Berita Harian berbunyi “Remaja mengaku tidak tahu mengucap”.[1]

Laporan berita dalam Utusan Melayu bertajuk “Jenayah seks Membimbangkan” menceritakan peningkatan masalah tersebut. Lebih membimbangkan, kes-kes tersebut lebih banyak membabitkan golongan remaja di bawah umur. [2]

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail berkata, kajian mendapati 18 peratus daripada 6110 remaja di seluruh negara pernah melakukan hubungan seks bebas (75.1 peratus berusia antara 16 hingga 21 tahun). Kajian juga mendapati 71 peratus remaja yang berumur di antara 13 hingga 21 tahun menghisap rokok, 40 peratus menonton video lucah, 28 peratus terbabit dalam perjudian dan 14 peratus terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Sementara kajian kebangsaan mengenai kesihatan Re-produktif dan seksualiti remaja di Malaysia mendapati 24 peratus remaja berusia 13 hingga 19 tahun pernah melakukan hubungan seks.[3]

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan dari bulan Disember 1998 hingga Oktober 1999 mendapati sebanyak 459 daripada 1560 buah sekolah menengah (SM) harian di seluruh negara menghadapi risiko yang tinggi untuk terdedah kepada salah laku dan jenayah di kalangan pelajarnya.[4]

Menurut pengerusi jawatankuasa aktiviti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamel Afandi Hasyim, di Selangor sahaja, jenayah yang melibatkan pelajar pada Januari – Disember 1999 ialah 213 kes dan bilangan tangkapan 403 orang.

Manakala pada tahun 2000, sebanyak 400 tangkapan membabitkan 256 orang Melayu, 65 orang Cina, 77 orang India, 2 orang perempuan Melayu dan 3 orang perempuan Cina. Peringkat umur mereka yang ditangkap ialah 11 hingga 18 tahun. Namun tidak dapat dinafikan kejadian jenayah dikalangan remaja yang berusia 15 tahun mencapai angka yang tertinggi. Antara jenayah yang dilakukan oleh remaja termasuk menagih dadah, mencuri motorsikal, merompak stesyen minyak, merogol, curi kasut, bergaduh dan pelbagai lagi.[5]

Di negeri Kelantan pula masalah sahsiah dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar dan remaja dilaporkan mencatat peningkatan dari segi kesalahan juvana, iaitu 201 kes pada 1992 kepada 304 kes pada 1993.[6]

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata berlakunya gejala bohsia di kalangan belia di negara ini sekarang disebabkan tidak ada didikan rohani, mereka yang terlibat dalam bohsia berjiwa kosong dan tidak takut kepada Allah.[7]

Kenyataan akhbar mengatakan bahawa remaja Kelantan suka melepak berdasarkan kepada laporan yang di bentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Ghani Othman, remaja Kelantan menghabiskan masa dengan budaya itu 12 jam seminggu. Berdasarkan itu, Kelantan menduduki tangga ke 10 daripada seluruh negeri di negara ini.[8]

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembasmian Jenayah Juvana Peringkat Negeri dan Daerah bagi menangani kes-kes juvana yang membabitkan para pelajar di negeri ini. Sementara itu Jawatankuasa Juvana Jajahan Tumpat telah mengenal pasti remaja berumur 15 tahun ke bawah banyak terlibat dalam kegiatan penagihan dadah, mencuri dan pecah rumah. [9]

Masalah sahsiah dan moral para pelajar di sekolah SMU(A) YIK pula adalah terkawal dan di tahap yang rendah, terdapat juga beberapa masalah salah laku pelajar di sekolah tetapi dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak pentadbiran sekolah. Pihak YIK setakat ini belum menerima laporan berkaitan kes-kes berat yang dilakukan oleh pelajar YIK.[10]

Sementara itu bahagian Hal Ehwal Murid, Yayasan Islam Kelantan sentiasa memantau setiap perkembangan yang berlaku berkaitan dengan disiplin pelajar, rekod disiplin pelajar juga diwujudkan bagi melihat perkembangan setiap pelajar. Kebanyakan kesalahan yang direkodkan ialah kesalahan-kesalahan biasa seperti ponteng kelas, merokok dan beberapa kes budaya vandalisme.[11]

Masalah moral dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja merupakan masalah yang semakin serius, justeru menyebabkan pihak kerajaan telah mengemukakan gagasan KBSM diiringi dengan penggubalan FPN yang menggariskan dengan jelas matlamat pendidikan iaitu membangunkan individu yang seimbang dari semua aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek yang berdasarkan kepada kepatuhan kepada tuhan.Ianya juga untuk menanamkan semangat keislaman kepada pelajar Islam.

Sejarah dan latar belakang pendidikan Islam di Malaysia mempunyai kesan yang besar terhadap Tasawwur Islam kepada masyarakat Melayu Islam dewasa ini. Sukatan pelajarannya yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada tahap pengetahuan agama masyarakat Islam. Terdapat banyak kajian dan kes yang menunjukkan masyarakat Islam tidak mengetahui perkara-perkara asas Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah, hukum halal dan haram, dosa dan pahala serta perbezaan antara ibadat dan adat. Kesemua ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan pengajaran Islam di institusi- institusi pengajian formal atau tidak formal seperti di masjid dan surau.



[1] Berita Harian 7 Mac 1998.

[2] Utusan Melayu, 29 Jun 1995.

[3] Berita Harian, 3 Oktober 1996.

[4] Dewan Masyarakat, Jun 2000

[5] Fokus, bil. 12, Julai 2002, h.14.

[6] Harian Metro, Rabu, 25 Mei 1994.

[7] Utusan Melayu, 22 Oktober 1994.

[8] Harian Metro, Isnin, 27 Jun 1994.

[9] Utusan Melayu, 30 Oktober 1996.

[10] Temubual dengan Us. Mohd Mansur Hj. Daud, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan), Yayasan Islam Kelantan di pejabatnya pada 8 Mei 2003.

[11] Temubual dengan Us. Baharuddin Ishak, Penyelia Hal Ehwal Murid,Yayasan Islam Kelantan di pejabatnya pada 8 Mei 2003.

Konsep tasawwur Islam

Konsep tasawwur Islam mula diperkenalkan oleh Syed Qutb (1987) dalam bukunya ( Khaşāiş al-Taşawwur al-Islāmi wa Muqawwimātuh)[1]. Dalam buku tersebut beliau telah membincangkan tentang aspek tasawwur dan ‘itiqad iaitu menjelaskan ciri-ciri pemikiran umum Islam mengenai Allah, alam, kehidupan dan manusia. Beliau tidak membincangkan secara khusus tentang ciri-ciri manhaj (peraturan), aliran mazhab dan perundangan Islam yang merangkumi aspek akidah, ibadat, akhlak dan syari’at. Ini kerana beliau bukan berhasrat untuk membincangkan perkara tersebut dalam buku ini walaupun terdapat juga perbahasan mengenainya pada sesetengah tempat.

Konsep ini diolah dengan lebih terperinci oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya (al-Khaşāiş al- ‘Āmmah li al-Islām).[2] Kitab beliau ini adalah sebagai menyempurnakan lagi kitab karangan al-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya (Khaşāiş al-Taşawwur al-Islāmi wa Muqawwimātuh). Tidak peliklah sekiranya kitab ini memetik beberapa tajuk utama seperti: Rabbāniah (ketuhanan), Syumūl (lengkap), Wāqi‘iyyah (benar dan nyata) dan al-Tawāzun (sederhana).

Konsep yang komprehensif berkaitan tasawwur Islam ini juga dihuraikan oleh Abū al-A'lā al-Maudūdi di dalam buku (Asas-Asas Islam). [3] Buku ini memberi gambaran atau tasawwur tentang tentang ajaran Islam secara lebih jelas. Kandungan buku ini membincangkan bagaimana Islam mengatur kehidupan untuk manusia di atas muka bumi ini. Ianya bermula dari pengertian akidah dengan segala cabangnya. Pengarang juga menghuraikan hubungkait dengan perilaku dan perjalanan hidup manusia.

Selepas persoalan akidah, buku ini membincangkan pula persoalan Nubuwwah (kenabian) yang merupakan asas yang sangat penting dalam Islam. Bahagian akhir buku ini memberi penjelasan yang padu tentang tasawwur pengertian syari’at dan hubungannya dengan Islam serta kewajipan-kewajipan yang perlu dilaksanakan setelah seseorang mengakui ketinggian dan kemuliaan syari’at Allah.



[1] Syed Qutb (1987), op.cit., h. 45.

[2] Yusof al-Qardhāwi (1977), op.cit., h. 26.

[3] Abū al-A'lā al-Maudūdi (1988), op.cit., h. 3

Kesan sahsiah terhadap pencapaian

Sahsiah pelajar yang positif mempunyai pertalian yang nyata dengan pencapaian yang positif. Pelajar yang mempunyai sahsiah yang baik menunjukkan kebiasaan belajar yang baik, sikapnya terhadap guru dan mendapat galakan daripada ibubapa mereka.

Mereka sentiasa diberi perhatian oleh para guru, ibu bapa dan juga rakan-rakan seperjuangan. Mereka menjaga disiplin dan peraturan yang ditetapkan juga sentiasa menepati masa yang diperuntukkan. Para pelajar yang bersahsiah positif juga tidak dikaitkan dengan salah laku dan masalah-masalah sosial yang lain. Mereka tidak terbeban dengan masalah luaran yang mengganggu proses pembelajaran dan pengajian mereka.

Dengan ini mereka dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pembelajaran dan semestinya akan memberikan kesan yang baik terhadap pencapaian. Ini menunjukkan bahawa peribadi dan sahsiah seseorang pelajar dapat mempengaruhi pencapaiannya dalam pelajaran.

Kaedah pembentukan sahsiah


Islam adalah agama yang amat mengambil berat terhadap pembentukan peribadi yang baik dan akhlak yang mulia. Pelbagai kaedah telah digariskan dalam ajaran Islam untuk membentuk sahsiah yang baik.

Antaranya ialah:

a) Dengan ilmu pengetahuan yang luas serta mendalam untuk mengetahui jenis-jenis sahsiah yang baik dan yang buruk kerana ianya ada kaitan dengan iman dan taqwa. Ini bererti melengkapkan para pelajar dengan asas-asas keimanan, membiasakan mereka melaksanakan rukun Islam serta mengajar mereka dasar-dasar syariat sejak mula berakal lagi.[1]

b) Menanamkan nilai akhlak yang mulia dalam ingatan seseorang supaya tetap bertapak dalam hatinya agar dia sentiasa berwaspada dalam segala gerak-geri dan tindak tanduknya. Jika dia terlupa nilai-nilai tersebut, dia akan melakukan perkara yang keji. Pendidikan akhlak ialah pendidikan yang bersifat teori dan praktis. Sumber pendidikan akhlak ialah pengajaran daripada al-Qur’an, contoh tauladan daripada Rasulullah s.a.w serta perbuatan baik menurut pertimbangan akal yang sihat, sesuai dengan peredaran waktu, keadaan dan tempat.[2]

c) Menanam akidah Islam yang mendalam dalam diri seseorang individu terutamanya kepercayaan dengan hari akhirat dan pembalasan selepas mati.

d) Mengerjakan ibadat-ibadat wajib dan sunat, kerana amalan itu sendiri akan membersihkan diri seseorang daripada dosa. Amalan tersebut merupakan makanan kepada roh sebagaimana badan yang memerlukan kepada makanan. Ianya akan meletakkan seorang muslim sentiasa terikat hubungannya dengan Allah s.w.t.[3]

e) Mewajibkan ke atas dirinya melakukan sifat-sifat yang terpuji. Pendidik dapat menanam sifat dan pengaruh yang baik ke dalam jiwa pelajar. Dengan ini, pendidik dapat mengarahkan pelajar kepada kebaikan dan kemaslahatan masyarakat dan umat.[4]

f) Memaksa diri melakukan pekerjaan yang berlawanan dengan sifat-sifat yang keji. Dalam hal ini Islam menggalakkan para ibubapa dan pendidik agar sentiasa mengawasi dan mengambil berat soal pembentukan anak-anak mereka, aspek yang paling penting diberi perhatian ialah aspek keimanan, sahsiah, mental, ilmu pengetahuan, jasmani, kemasyarakatan dan rohani.[5]

g) Berkawan rapat dengan orang yang berakhlak mulia dan menjauhi daripada orang yang sentiasa melakukan sifat-sifat keji. Dalam hal ini Abdullah Nāsih ‘Ulwān menyatakan bahawa prasarana yang sangat diperlukan ialah program pendidikan yang lengkap dan suasana persekitaran yang baik yang mempengaruhi .[6]

h) Berusaha untuk mengikuti pimpinan dan tauladan yang baik. Dalam konteks ini, contoh yang paling utama perlu diikuti ialah peribadi Rasullah s.a.w yang merupakan jalan menuju ke arah pendidikan yang selamat. Jika tidak, ia akan membawa ke jalan yang sesat dan kehancuran.[7]

Ini selaras dan bertepatan dengan firman Allah Ta’ala:

(Surah al-Ahzab (33): 21)

Bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.[8]

(Terjemahan Surah al-Ahzab (33): 21)


Pembentukan sahsiah adalah merupakan agenda utama pendidikan. Ia mempunyai perkaitan yang rapat dengan sikap iaitu perbuatan yang terhasil dari dorongan batiniyyah (akhlak). Akhlak membawa implikasi yang besar kerana ia mencakupi seluruh perbuatan lahiriah manusia yang dihasilkan dari dorongan batiniah.[9]

Ahli pendidik dan ahli fikir Islam menekankan aspek ini termasuk Imām al-Ghazāli yang mengatakan bahawa tugas utama pelajar adalah untuk membersihkan jiwa dari akhlak yang rendah. Menurutnya ibadat hati dan mengisi batin dengan ilmu tidak sah tanpa lebih dahulu membersihkan hati dari najis akhlak yang keji dan sifat-sifat kotor.



[1] ‘Abdullāh Nāsih ‘Ulwān (1989), Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, (Terj.)jil. I, Singapura: Pustaka Nasional, h. 157.

[2] Abdullah al-Qari (1989), Dasar Pendidikan Menurut Islam, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, h. 96

[3] Yusof al-Qardhāwi (1977), op.cit., h.26.

[4] ‘Abdul Rahmān al-Nihlāwī (1983), Usūl al-Tarbiyyah al-Islāmiyyah Wa Asālībihā, Beirut: Dār al-Fikr, h. 282.

[5]‘Abdullāh Nāsih ‘Ulwān (1989), op.cit., h. 287-299

[6]‘Abdullāh Nāsih ‘Ulwān (1989), Ibid, h. 181-198.

[7] Hasan al-Syarqāwī, op.cit., h. 173-174.

[8] Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih (2000), op.cit., h. 908.

[9] Anwar Ibrahim (1998), Persoalan Akhlak Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur, PKPIM.

Pandangan Barat Tentang Moral


Menurut pendapat setengah sarjana barat, akhlak atau moral ialah kumpulan unsur-unsur keperibadian seperti pemikiran, sentimen dan naluri. Ada juga yang mengaitkannya dengan tabiat dan kehendak naluri manusia.

Terdapat beberapa orang tokoh daripada barat yang telah membuat kajian tentang konsep sikap dan telah membuat definasi mereka tersendiri. Antara mereka ialah Large (1888), Munsterberg (1889),Muller (1900), Koffa (1912), Washburn (1916) dan lain-lain pengkaji lagi daripada Amerika Syarikat dan British.[1]

Kajian tentang sahsiah ini telah mengambil masa yang lama dan terdapat pelbagai takrifan yang telah diutarakan. Definasi dan pengertian tersebut mengandungi ciri persamaan dan dapat disimpulkan seperti berikut:

i. Ia merupakan suatu proses mental individu yang menentukan tindak balas dalam kehidupannya.

ii. Rasa hati individu ini dihubungkaitkan dengan penilaian positif atau negatif, suka atau tidak suka, setuju atau tidak setuju.

iii. Ia adalah suatu kesediaan mental yang tersusun daripada pengalaman yang mempengaruhi individu dalam melahirkan tindakbalas semua objek atau situasi yang berkaitan.

Daripada tinjauan takrifan tersebut, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ia adalah suatu proses mental individu yang menentukan tindakbalas tersebut dalam kehidupannya dan ketetapan rasa hati serta perasaan individu. Ia juga memberi erti kesediaan mental yang tersusun daripada pengalaman yang dapat mempengaruhi tindak balas individu.



[1] Hindun Lidin (1987), Kesan Pendidikan Islam Terhadap Perubahan Sikap Pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia, (Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia).

Konsep akhlak dalam Islam


Islam telah meletakkan akhlak ke tahap yang paling utama bermula daripada individu perseorangan, perhubungan antara manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan antara negara dan perhubungan manusia dengan makhluk Allah yang lain.

Perkataan akhlak dalam bahasa Arab bermaksud fitrah manusia atau sesuatu yang melahirkan sifat atau perangai semulajadi manusia dalam bentuk lurus dan teratur.[1]

Menurut al-Imām al-Ghazāli dalam kitabnya ‘Ihyā’ ‘Ulūmuddīn’: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang melahirkan tingkahlaku dengan mudahnya tanpa berhajat kepada berfikir atau teragak-agak. Jika yang lahir tingkahlaku yang baik dan terpuji menurut akal dan syariat bererti ianya lahir dari akhlak yang terpuji. Sebaliknya jika tingkahlaku yang jahat dan keji menurut akal dan syariat bererti ianya lahir dari akhlak yang keji.[2]

Mengikut Dr. Jamil Saliba, akhlak dari segi bahasa bererti adat kebiasaan, perangai, kehormatan dan agama. Akhlak di kalangan Qudama’ menurut beliau ialah suatu sifat bersih dari jiwa yang dapat melakukan tindak tanduk dengan mudah tanpa memerlukan pandangan dan fikiran serta tiada paksaan.[3] Prof. Ahmad Amin pula menyatakan bahawa ; “Akhlak adalah merupakan suatu ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk”.[4]

Akhlak Islam adalah berteraskan iman kepada Allah yang Maha Esa. Islam menganjurkan supaya berbuat baik dan meninggalkan perkara yang keji. Akhlak Islam adalah bersumberkan kepada al-Quran dan al-Hadith.



[1] ‘Ali Fadhlullāh (t.t), al-Akhlāk al-Islāmiah, Maktabah Dār al-Hayāt, h. 4.

[2] Al-Ghazāli (t.t), op.cit., juz. 3, h.53.

[3] Jamil Saliba (1971), op.cit, h. 49.

[4] Ahmad Amin (1975), al-Akhlāk, terjemahan oleh Prof. K.H.Farid Ma’aruf, Ethika Ilmu Akhlak, Jakarta: cetakan Bulan Bintang, h. 15.