Wednesday, September 19, 2007

Pengertian Islam

Islam adalah berasal dari perkataan Arab yang memberi makna penyerahan diri, ketaatan dan kepatuhan. Sebagai agama, Islam merupakan penyerahan diri secara total kepada Allah s.w.t. Ajaran Islam memerintah umatnya taat kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya.[1]

Terdapat pelbagai takrif Islam yang telah diberikan oleh para sarjana Islam bersandarkan kepada nas-nas dari al-Quran dan as-Sunnah.

Secara umumnya bolehlah ditafsirkan sebagai sistem kepercayaan, penyembahan, akhlak dan sebagainya yang sering kali melibatkan aspek etika tatasusila dan falsafah. Islam juga merupakan sebagai kaedah sosial dan tatasusila yang lengkap.[2]

Mengikut Dr. ‘Abdul Karīm Zaidān dalam kitabnya Usūl al-Dawah,[3] Islam bermaksud;

i- Mengucap Dua Kalimah Syahadah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan Haji.

ii- Ketundukan, kepatuhan dan penyerahan diri yang mutlak kepada Allah s.w.t. secara sukarela atau paksaan.

Ini berdasarkan firman Allah Taala:

Surah Āli ‘Imrān (3): 83

Bermaksud: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.[4]

Terjemahan Surah Āli ‘Imrān (3): 83

Menurut Hassan Ayyub, Islam dari sudut syarak ialah kepatuhan, ketundukan diri dan ketenangan hati serta penerimaan setiap ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.[5]

Pengertian Islam secara umum dan menyeluruh seperti yang digariskan oleh Islam sendiri iaitu penyerahan diri kepada Allah. Oleh itu Islam ialah melahirkan iman dan menyatakannya secara praktikal dengan ikrar Shahadah, mengerjakan ibadat dan melaksanakan hukum-hukum syarak dalam semua aspek kehidupan.[6]



[1] Abu al-A‘la al-Maududi (tt), Towards Understanding Islam, Terj. Elwin Siregar, Dasar Akidah Islam, Jakarta: Media Dakwah, h. 18.

[2] Muhammad Al-Buraey (1992), Pembangunan Pentadbiran Menurut Perspektif Islam, Terj.Abdullah Md. Nor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h.4

[3] ‘Abdul Karim Zaidān (1991), Uşūl al-Dawah, Baghdad: Dār al-Wafā’, h. 9

[4] Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih (2000), op.cit., h. 114.

[5] Hassān Ayyūb (1980), Tabsūt al-‘Aqā’id al-Islāmiyyah, Kuwait: Dār al-Qur’ān al-Karīm, h. 41.

[6] Ahmad bin Haji Mohd Salleh (1984), Kursus Pendidikan Islam, cet. I, Kota Bharu, Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., h. 3.

No comments: