Wednesday, September 19, 2007

Kesan Pengajian Kesan Tasawwur Islam Terhadap Pembentukan Sahsiah


Tasawwur Islam atau tanggapan terhadap Islam amat penting difahami dengan betul oleh seluruh umat Islam. Tasawwur yang didefinasikan sebelum ini mempunyai bidang atau ruang lingkup yang amat luas. Ia merangkumi semua aspek kehidupan manusia dan meliputi keseluruhan Islam. Bermula dari tasawwur terhadap tuhan, manusia, alam sekeliling sehinggalah kepada hubungan antarabangsa dan kehidupan selepas kematian.

Tasawwur yang jelas tentang sesuatu akan memberi kesan yang besar terhadap tindakan. Justeru pendidikan adalah merupakan perkara yang paling penting kepada manusia. Abū al-Hasan ‘Alī al-Nadawī mengatakan bahawa melalui sistem pendidikan akan mampu menyediakan sahsiah yang bebas, mempunyai jati diri dari sudut rohani dan perasaan. Melalui rohani ini akan terbentuk suatu acuan yang sempurna dan melengkapkan kepada segala ilmu-ilmu yang lain.[1]

Pendidikan adalah merupakan acuan yang mampu membentuk sahsiah dan keperibadian makhluk yang hidup. Melalui acuan tersebut dapat membentuk apa sahaja perkara yang dikehendaki. Pendidikan adalah merupakan suatu kekuatan yang kesannya lebih besar dari kesan bahan-bahan kimia yang lain. Ia mampu mengubah bukit yang besar dan teguh kepada debu-debu yang halus.[2]

Tasawwur Islam adalah merangkumi seluruh proses pendidikan yang berasaskan kepada sumber wahyu. Menurut Abdul Halim El-Muhammady: Pendidikan Islam ialah proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu; al-Quran dan al-Sunnah, pengalaman para al-Salaf al-Soleh serta ilmuan yang mu‘tabar untuk melahirkan insan sōlih yang mampu memikul tanggungjawab khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah (s.w.t) ke atas manusia supaya mengimarahkan (memakmurkan) alam ini untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Seseorang tidak mungkin dapat mengikuti dan tetap berpegang teguh dengan ajaran agama tanpa dipimpin oleh ilmu pengetahuan, pemerhatian dan pemikiran, kerana kadar kesempurnaan dalam perkara tersebut menandakan ketinggian darjat di sisi Allah s.w.t.[3]

Tanpa berlakunya proses pendidikan akan membawa kepada kejahilan, fahaman yang salah dan tidak mendapat tasawwur yang jelas tentang sesuatu menyebabkan berlakunya penyelewengan pemikiran. Perkara ini amat merbahaya kerana mereka akan menyangka perkara yang baik itu buruk sementara perkara yang buruk itu baik. Justeru itu, tindakan yang terbit daripada pelakunya akan bertentangan dengan tatasusila yang telah digariskan oleh agama.

Kepincangan sahsiah juga akan berlaku tanpa tasawwur yang jelas dan pendidikan yang seutuhnya. Perkara ini berlaku kerana jiwa yang kurang pengisiannya akan menjadi lemah dan mudah tunduk kepada kemahuan nafsu syahwat. Ianya memberi kesan yang negatif kepada akhlak dan keperibadian seseorang.

Sebenarnya terdapat pelbagai perbincangan yang telah diutarakan oleh para sarjana Islam berhubung dengan konsep Tasawwur Islam. Walaupun terdapat pelbagai olahan bahasa yang telah dikemukakan, tetapi ia memberi mafhum yang sama. Semuanya memusatkan kepada proses pendidikan yang menyeluruh berasaskan nilai-nilai akidah dan bersumberkan wahyu al-Quran dan Sunnah. Tujuannya hanyalah untuk membentuk manusia yang terbaik di dunia dan akhirat.



[1] Abū al-Hasan ‘Alī al-Nadawī (1968), al-Sirā Baina al-Fikrah al-Islāmiyyah Wa al-Fikrah al-Gharbiyyah, Kuwait: Dār al-Kuwaitiah, h. 161.

[2] Ibid, h.167

[3] Abū al-Alā al-Maudūdī (1971), al-Islām Fī Muwājahat al-Tahaddiyāt al-Muāsorah, Kuwait: Dār al-Qalam, h. 12

No comments: