Wednesday, September 19, 2007

Pembangunan Pendidikan

Golongan pelajar adalah merupakan aset yang amat penting dan merupakan salah satu sumber tenaga manusia yang asas bagi negara yang sedang membangun.

Pembangunan dalam bidang pendidikan adalah merupakan usaha untuk memajukan kehidupan dan meningkatkan kualiti manusia. Begitu juga pendidikan nasional di negara kita Malaysia yang bertujuan untuk memantapkan kehidupan bangsa dan meninggikan kualiti masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang maju, berwawasan dan makmur. Dengan ini membolehkan warganya mengembangkan idea, baik di sudut jasmani ataupun rohani.

Justeru, Malaysia yang sedang menuju ke arah negara maju perlu mengimbangi antara pendidikan sains, teknologi maklumat dan pembangunan manusia. Pemikiran saintifik sememangnya wajar ditanam ke dalam jiwa pelajar supaya mempunyai pendekatan kritis terhadap sejarah masa lampau dan pendekatan masa kini. Namun kepercayaan yang berlebihan terhadap penerokaan dan kajian sendiri sehingga mengurangkan kepercayaan terhadap wahyu adalah sangat merbahaya menurut tasawwur Islam.

Islam telah memberikan penekanan yang begitu berat terhadap pendidikan supaya manusia mempunyai tasawwur dan pengetahuan yang jelas terhadap kehidupan ini. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadith yang amat mengambil berat terhadap ilmu pengetahuan dan aspek pendidikan. Terdapat banyak dalil-dalil dari al-Qur'an dan as-Sunnah yang memberi penekanan terhadap aspek pendidikan.

Ayat yang pertama diturunkan kepada baginda Rasulullah (s.a.w) adalah berkaitan dengan aspek asas ilmu pengetahuan dan pendidikan ; iaitu membaca dengan nama Allah tuhan yang menjadikan manusia sebagaimana firman Allah taala:

Surah al-‘Alaq (96): 1

Bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”.[1]

Terjemahan Surah al-‘Alaq (96): 1

Setiap muslim adalah bertanggungjawab mempunyai tasawwur yang jelas, lengkap dan menyeluruh terhadap kehidupan ini, bagi mentafsir dan berinteraksi secara berkesan dengan sistem dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah Taala. Setiap muslim mesti memahami hubungan antara hakikat uluhiyyah (ketuhanan) dan rububiyyah (penghambaan) untuk memahami kedudukan manusia di dunia, matlamat kewujudan dan peranan manusia dalam kehidupan. Tasawwur yang jelas ini mestilah berpandukan kepada sumber yang sahih iaitu Al-Quran dan Al-Hadith untuk dijadikan manhaj (panduan) dan sistem dalam kehidupan.



[1] Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih (2000), Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an, Kuala Lumpur: Dār al-Fikr, h. 1412.

2 comments:

Unknown said...

Boleh jelaskan kan lebih lagi tentang makne tasawwur islam...?
Tasawwur islam membicarakan tentang ape ???

Unknown said...

Boleh jelaskan kan lebih lagi tentang makne tasawwur islam...?
Tasawwur islam membicarakan tentang ape ???