Wednesday, September 19, 2007

Konsep tasawwur Islam

Konsep tasawwur Islam mula diperkenalkan oleh Syed Qutb (1987) dalam bukunya ( Khaşāiş al-Taşawwur al-Islāmi wa Muqawwimātuh)[1]. Dalam buku tersebut beliau telah membincangkan tentang aspek tasawwur dan ‘itiqad iaitu menjelaskan ciri-ciri pemikiran umum Islam mengenai Allah, alam, kehidupan dan manusia. Beliau tidak membincangkan secara khusus tentang ciri-ciri manhaj (peraturan), aliran mazhab dan perundangan Islam yang merangkumi aspek akidah, ibadat, akhlak dan syari’at. Ini kerana beliau bukan berhasrat untuk membincangkan perkara tersebut dalam buku ini walaupun terdapat juga perbahasan mengenainya pada sesetengah tempat.

Konsep ini diolah dengan lebih terperinci oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya (al-Khaşāiş al- ‘Āmmah li al-Islām).[2] Kitab beliau ini adalah sebagai menyempurnakan lagi kitab karangan al-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya (Khaşāiş al-Taşawwur al-Islāmi wa Muqawwimātuh). Tidak peliklah sekiranya kitab ini memetik beberapa tajuk utama seperti: Rabbāniah (ketuhanan), Syumūl (lengkap), Wāqi‘iyyah (benar dan nyata) dan al-Tawāzun (sederhana).

Konsep yang komprehensif berkaitan tasawwur Islam ini juga dihuraikan oleh Abū al-A'lā al-Maudūdi di dalam buku (Asas-Asas Islam). [3] Buku ini memberi gambaran atau tasawwur tentang tentang ajaran Islam secara lebih jelas. Kandungan buku ini membincangkan bagaimana Islam mengatur kehidupan untuk manusia di atas muka bumi ini. Ianya bermula dari pengertian akidah dengan segala cabangnya. Pengarang juga menghuraikan hubungkait dengan perilaku dan perjalanan hidup manusia.

Selepas persoalan akidah, buku ini membincangkan pula persoalan Nubuwwah (kenabian) yang merupakan asas yang sangat penting dalam Islam. Bahagian akhir buku ini memberi penjelasan yang padu tentang tasawwur pengertian syari’at dan hubungannya dengan Islam serta kewajipan-kewajipan yang perlu dilaksanakan setelah seseorang mengakui ketinggian dan kemuliaan syari’at Allah.



[1] Syed Qutb (1987), op.cit., h. 45.

[2] Yusof al-Qardhāwi (1977), op.cit., h. 26.

[3] Abū al-A'lā al-Maudūdi (1988), op.cit., h. 3

No comments: