Wednesday, September 19, 2007

Kesan Tasawwur Islam Terhadap Sahsiah Pelajar

Tasawwur yang jelas tentang sesuatu akan memberi kesan yang besar terhadap tindakan. Justeru pendidikan adalah merupakan perkara yang paling penting kepada manusia. Melalui sistem pendidikan akan mampu menyediakan sahsiah yang bebas, mempunyai jati diri dari sudut rohani dan perasaan. Melalui rohani ini akan terbentuk suatu acuan yang sempurna dan melengkapkan kepada segala ilmu-ilmu yang lain.

Pendidikan adalah merupakan acuan yang mampu membentuk sahsiah dan keperibadian makhluk yang hidup. Melalui acuan tersebut dapat membentuk apa sahaja perkara yang dikehendaki. Pendidikan adalah merupakan suatu kekuatan yang kesannya lebih besar dari kesan bahan-bahan kimia yang lain. Ia mampu mengubah bukit yang besar dan teguh kepada debu-debu yang halus.

Tasawwur Islam adalah merangkumi seluruh proses pendidikan yang berasaskan kepada sumber wahyu. Seseorang tidak mungkin dapat mengikuti dan tetap berpegang teguh dengan ajaran agama tanpa dipimpin oleh ilmu pengetahuan, pemerhatian dan pemikiran. Tanpa berlakunya proses pendidikan akan membawa kepada kejahilan, fahaman yang salah dan tidak mendapat tasawwur yang jelas tentang sesuatu menyebabkan berlakunya penyelewengan pemikiran. Perkara ini amat merbahaya kerana mereka akan menyangka perkara yang baik itu buruk sementara perkara yang buruk itu baik. Justeru itu, tindakan yang terbit daripada pelakunya akan bertentangan dengan tatasusila yang telah digariskan oleh agama.

Kepincangan sahsiah juga akan berlaku tanpa tasawwur yang jelas dan pendidikan yang seutuhnya. Perkara ini berlaku kerana jiwa yang kurang pengisiannya akan menjadi lemah dan mudah tunduk kepada kemahuan nafsu syahwat. Ianya memberi kesan yang negatif kepada akhlak dan keperibadian seseorang.

1 comment:

nadhrah mahbob said...

salam,terime ksh kongsi ilmu dlm blog.
boleh share2