Wednesday, September 19, 2007

Kaedah pembentukan sahsiah


Islam adalah agama yang amat mengambil berat terhadap pembentukan peribadi yang baik dan akhlak yang mulia. Pelbagai kaedah telah digariskan dalam ajaran Islam untuk membentuk sahsiah yang baik.

Antaranya ialah:

a) Dengan ilmu pengetahuan yang luas serta mendalam untuk mengetahui jenis-jenis sahsiah yang baik dan yang buruk kerana ianya ada kaitan dengan iman dan taqwa. Ini bererti melengkapkan para pelajar dengan asas-asas keimanan, membiasakan mereka melaksanakan rukun Islam serta mengajar mereka dasar-dasar syariat sejak mula berakal lagi.[1]

b) Menanamkan nilai akhlak yang mulia dalam ingatan seseorang supaya tetap bertapak dalam hatinya agar dia sentiasa berwaspada dalam segala gerak-geri dan tindak tanduknya. Jika dia terlupa nilai-nilai tersebut, dia akan melakukan perkara yang keji. Pendidikan akhlak ialah pendidikan yang bersifat teori dan praktis. Sumber pendidikan akhlak ialah pengajaran daripada al-Qur’an, contoh tauladan daripada Rasulullah s.a.w serta perbuatan baik menurut pertimbangan akal yang sihat, sesuai dengan peredaran waktu, keadaan dan tempat.[2]

c) Menanam akidah Islam yang mendalam dalam diri seseorang individu terutamanya kepercayaan dengan hari akhirat dan pembalasan selepas mati.

d) Mengerjakan ibadat-ibadat wajib dan sunat, kerana amalan itu sendiri akan membersihkan diri seseorang daripada dosa. Amalan tersebut merupakan makanan kepada roh sebagaimana badan yang memerlukan kepada makanan. Ianya akan meletakkan seorang muslim sentiasa terikat hubungannya dengan Allah s.w.t.[3]

e) Mewajibkan ke atas dirinya melakukan sifat-sifat yang terpuji. Pendidik dapat menanam sifat dan pengaruh yang baik ke dalam jiwa pelajar. Dengan ini, pendidik dapat mengarahkan pelajar kepada kebaikan dan kemaslahatan masyarakat dan umat.[4]

f) Memaksa diri melakukan pekerjaan yang berlawanan dengan sifat-sifat yang keji. Dalam hal ini Islam menggalakkan para ibubapa dan pendidik agar sentiasa mengawasi dan mengambil berat soal pembentukan anak-anak mereka, aspek yang paling penting diberi perhatian ialah aspek keimanan, sahsiah, mental, ilmu pengetahuan, jasmani, kemasyarakatan dan rohani.[5]

g) Berkawan rapat dengan orang yang berakhlak mulia dan menjauhi daripada orang yang sentiasa melakukan sifat-sifat keji. Dalam hal ini Abdullah Nāsih ‘Ulwān menyatakan bahawa prasarana yang sangat diperlukan ialah program pendidikan yang lengkap dan suasana persekitaran yang baik yang mempengaruhi .[6]

h) Berusaha untuk mengikuti pimpinan dan tauladan yang baik. Dalam konteks ini, contoh yang paling utama perlu diikuti ialah peribadi Rasullah s.a.w yang merupakan jalan menuju ke arah pendidikan yang selamat. Jika tidak, ia akan membawa ke jalan yang sesat dan kehancuran.[7]

Ini selaras dan bertepatan dengan firman Allah Ta’ala:

(Surah al-Ahzab (33): 21)

Bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.[8]

(Terjemahan Surah al-Ahzab (33): 21)


Pembentukan sahsiah adalah merupakan agenda utama pendidikan. Ia mempunyai perkaitan yang rapat dengan sikap iaitu perbuatan yang terhasil dari dorongan batiniyyah (akhlak). Akhlak membawa implikasi yang besar kerana ia mencakupi seluruh perbuatan lahiriah manusia yang dihasilkan dari dorongan batiniah.[9]

Ahli pendidik dan ahli fikir Islam menekankan aspek ini termasuk Imām al-Ghazāli yang mengatakan bahawa tugas utama pelajar adalah untuk membersihkan jiwa dari akhlak yang rendah. Menurutnya ibadat hati dan mengisi batin dengan ilmu tidak sah tanpa lebih dahulu membersihkan hati dari najis akhlak yang keji dan sifat-sifat kotor.



[1] ‘Abdullāh Nāsih ‘Ulwān (1989), Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, (Terj.)jil. I, Singapura: Pustaka Nasional, h. 157.

[2] Abdullah al-Qari (1989), Dasar Pendidikan Menurut Islam, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, h. 96

[3] Yusof al-Qardhāwi (1977), op.cit., h.26.

[4] ‘Abdul Rahmān al-Nihlāwī (1983), Usūl al-Tarbiyyah al-Islāmiyyah Wa Asālībihā, Beirut: Dār al-Fikr, h. 282.

[5]‘Abdullāh Nāsih ‘Ulwān (1989), op.cit., h. 287-299

[6]‘Abdullāh Nāsih ‘Ulwān (1989), Ibid, h. 181-198.

[7] Hasan al-Syarqāwī, op.cit., h. 173-174.

[8] Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih (2000), op.cit., h. 908.

[9] Anwar Ibrahim (1998), Persoalan Akhlak Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur, PKPIM.