Wednesday, September 19, 2007

Matlamat Pendidikan

Matlamat merupakan sasaran yang hendak dicapai oleh setiap aktiviti manusia. Setiap aktiviti manusia mesti mempunyai matlamat atau tujuan tertentu kerana aktiviti yang tidak mempunyai tujuan adalah pekerjaan sia-sia.

Menurut Haji Zainal Abidin Safarwan, didik bererti bimbing, tuntun, ajar, pelihara dan jaga dengan hati-hati. Pendidik bererti guru, pengasuh, wali, pemimpin, pengelola, pelatih, penyelenggara, pengajar, pamong dan pemelihara. Pendidikan pula bererti pengasuh, tarbiah dan pemeliharaan.

Matlamat pendidikan bangsa Cina dahulu adalah mempersiapkan anak didik untuk hidup bekerjasama dalam tugas-tugas besar. Bangsa Hindu mengarahkan tujuan pendidikan pada pembiasaan (melatih) anak didik bersikap sabar dan menerima kenyataan yang ada serta mampu menahan nafsu. Bangsa Sparta lebih mengutamakan kepada pembentukan sifat-sifat keberanian dan kesabaran serta sikap menghormati para pemimpin dan patriotisme (menyintai tanah air) serta taat kepada pemerintahnya. Bangsa Athena (Yunani kuno) mengarahkan tujuan pendidikan pada pembentukan peribadi yang berkesinambungan dalam aspek-aspek jasmaniah dan kecerdasan, moral dan keindahan budi.

Filosuf Yunani yang terkenal Plato (427-346 M) mengatakan bahawa pendidikan adalah bererti memberikan keindahan dan kesempurnaan yang mungkin diberikan kepada jasmani dan rohani.

John Meltan, penyair Inggeris yang terkenal (1608-1614 M), memberikan definisi pendidikan sebagai berikut: Pendidikan yang sempurna ialah pendidikan yang dapat menjadikan manusia mampu untuk menunaikan apa-apa sahaja pekerjaan, terhadap diri sendiri atau masyarakat dengan teliti, jujur dan cekap, baik dalam damai maupun dalam perang.

Sully, filosuf, ahli pendidikan dan ilmu jiwa Inggeris mengatakan bahawa pendidikan adalah bererti melatih potensi-potensi yang telah dimiliki anak agar ia mampu untuk mengendalikan hidupnya dengan sopan, sihat dan bahagia. Sementara W.T. Harris pula mengatakan bahawa erti pendidikan adalah mempersiapkan seseorang agar dia dapat memberikan kebahagiaan kepada dirinya sendiri dan juga kepada orang lain.

Hall mengatakan bahawa pendidikan yang sempurna itu ialah: pendidikan yang dapat memelihara kesihatan badan dan kekuatan jasmani bagi murid, juga pendidikan memungkinkannya mengenai kekuatan akal dan jasmaniahnya serta menambahkan kecepatan tanggapannya dan ketajaman kepintarannya, serta melatihnya supaya cepat dan teliti dalam membuat keputusan, dan membimbingnya supaya berperasaan halus, menjalankan kewajipan-kewajipannya dengan teliti dan hati-hati.

Carter V. Good menjelaskan pendidikan bererti segala proses memajukan sikap serta nilai baik yang menjadi amalan dalam sebuah masyarakat kepada setiap individu yang hidup dalam kelompok tersebut.

John Dewey pula menyatakan bahawa pendidikan adalah kaedah yang asas untuk memaju dan membawa pembaharuan dalam sesebuah masyarakat.

Sementara Richard James pula menyatakan mengenai kepentingan pendidikan dengan katanya: “sekiranya awak berfikir setahun ke hadapan tanamlah benih, sekiranya awak berfikir sepuluh tahun ke hadapan tanamlah sebatang pokok dan sekiranya awak berfikir seratus tahun ke hadapan didiklah manusia”.

Saint Thomas Aquinas (1225 - 1273 M) pernah menyatakan bahawa sesungguhnya tujuan pendidikan dan tujuan hidup itu adalah merealisasikan kebahagiaan dengan cara menanamkan keutamaan akal dan akhlak.

Pestalozzi dan Probel setuju membatasi tujuan pendidikan diarahkan kepada pembaikan masyarakat dengan cara menumbuhkan bakat individual anak.

Hegel (1770 – 1831 M) berpendapat bahawa sebaliknya pendidikan itu berusaha untuk mendorong perkembangan jiwa kelompok dan menghindari perbuatan yang membawa kepada dorongan kebendaan (materialisme).

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Haji Mat Diah, pendidikan adalah proses yang dilalui oleh anak didik dengan bimbingan yang dilakukan secara sengaja oleh si pendidik untuk membentuk keperibadian yang tertentu berdasarkan cita-cita dan falsafah hidup.

Matlamat pendidikan yang telah dihuraikan di atas adalah berbeza-beza kerana didasarkan atas kehidupan bangsa masing-masing yang pada prinsipnya tujuan-tujuan tersebut diarahkan untuk mencapai kehidupan duniawi yang baik yang ditekankan pada kemampuan melakukan pekerjaan praktis yang bermanfaat.

No comments: