Wednesday, September 19, 2007

Matlamat Pendidikan Menurut Islam

Matlamat pendidikan Islam menurut pandangan para filosuf Islam adalah sebagaimana berikut:

Imam Abu Ĥamid al-Ghazali[1] menyatakan matlamat dan tujuan pendidikan Islam itu adalah: “Bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta’ala tanpa tujuan mendapatkan jawatan kepemimpinan, bermegah-megah dan berlumba-lumba.”[2]

Sementara Ibn Khaldun[3] (1332–1406 M) pula dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan:

“Adalah pendidikan Islam mengarah kepada dua tujuan iaitu:-

1. Tujuan keagamaan, maksudnya ialah beramal untuk akhirat, sehingga ia menemui Tuhannya, dalam keadaan ia telah menunaikan hak Allah yang diwajibkan ke atasnya.

2. Tujuan ilmiah – keduniaan, iaitu apa yang diungkapkan dalam pendidikan moden dengan tujuan kemanfaatan, atau persiapan untuk hidup.[4]

Menurut Prof. Şāleh ‘Abd al-‘Azīz dan Dr. ‘Abd al-‘Azīz ‘Abd al-Mājid bahawa tujuan pendidikan Islam adalah: “Untuk mendapatkan keredhaan Allah dan mengusahakan kehidupan.”[5] Sementara Mustafa Amin menyatakan bahawa tujuan pendidikan Islam adalah:“Mempersiapkan seseorang bagi amalan dunia dan akhirat.”[6]

Prof. Dr. Muħammad ‘Atiyyah al-A’brāsyi dalam mengomentarikan definisi-definisi pendidikan yang dikemukakan oleh para pakar tersebut sebagaimana berikut:[7]

“Sebenarnya semua definisi pendidikan yang tersebut adalah tercakup di dalamnya teladan-teladan, contoh-contoh yang tinggi, yang halus bagi para pendidik menegakkannya. Pada pendapat kami bahawa pendidik itu ialah mempersiapkan seseorang (anak didik) supaya dia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, cinta kepada tanah airnya, kuat jasmaninya, sistematik pemikirannya, halus perasaannya, cekap dalam kerjayanya, bekerjasama dengan orang lain, indah ungkapannya, dalam tulisan dan lisannya dan tangannya melakukan pekerjaannya dengan baik”.

Menurut Drs. Syahminan Zaini, tujuan pendidikan Islam adalah membentuk manusia yang berjasmani kuat, sihat dan trampil, berotak cerdas dan banyak ilmu, berhati tunduk kepada Allah serta mempunyai semangat kerja yang hebat, disiplin yang tinggi dan pendirian yang teguh.[8]

Drs. Ahmad D. Marimba mengatakan bahawa tujuan pendidikan Islam adalah membentuk keperibadian muslim, iaitu keperibadian yang menyerahkan dirinya kepada Allah.[9]

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Halim Mat Diah, ungkapan yang paling baik dan lengkap tentang tujuan pendidikan Islam adalah membentuk keperibadian muslim. Dalam kata-kata “keperibadian muslim yang seutuhnya” akan tercakuplah keperibadian yang utama, keperibadian yang menyerahkan dirinya kepada Allah, dengan beribadah kepadaNya dan berusaha mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat.[10]



[1] Beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Abu Hamid al-Tusi al-Ghazali. Dilahirkan pada tahun 450h di negeri Tus dan meninggal dunia di sana pada 14 Jamadil Akhir 505h.

[2] Muhammad ‘Atiyyah al-Abrāsyi (1969), al-Tarbiyyah al-Islāmiyyah wa-falāsifatuhā, c. II, Mesir: ‘Isā al-Bāb al-Halabi wā-Syurākah, h. 244.

[3] Beliau ialah Abdul Rahman Abu Zaid, dilahirkan di Tunisia tahun 1332h dan meninggal dunia di Kaherah tahun 1406h. Merupakan ahli sosiologi dan falsafah. Beliau mengarang kitab dalam pelbagai bidang dan karangan beliau yang paling masyhur ialah kitab al-Muqaddimah.

[4] Muhammad ‘Atiyyah al-A’brāsyi (1969), Op.cit., h. 284.

[5] Şāleh ‘Abd al-‘Azīz dan Dr. ‘Abd al ‘Azīz ‘Abd al-Majīd (1968), al-Tarbiyyah wa-Turūq al- Tadris, Jld.I, c. IX, Mesir: Dār al-Ma’ārif, h. 34.

[6] Mustafa Amīn (1926), Tarīkh al-Tarbiyyah, c. II, Mesir: Dār al-Maārif, h. 167.

[7] Muhammad ‘Atiyyah al-A’brāsyi (1969), op.cit., h. 284-285.

[8] Syahminan Zaini , op. cit., h. 48-49.

[9] Ahmad D. Marimba, op. cit., h. 41-42.

[10] Abdul Halim bin Haji Mat Diah (1989), op. cit., h. 58.

No comments: