Wednesday, September 19, 2007

Pengertian Tasawwur Islam

Istilah Tasawwur Islam adalah merupakan satu ungkapan yang tidak asing lagi dalam penggunaan masyarakat Islam di Malaysia. Tasawwur bermaksud suatu gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara. Perkataan ini berasal dari kalimah Arab yang memberi beberapa maksud;

i.Suatu tanggapan terhadap rupa sesuatu yang dapat dikhayalkan.

ii.Cuba memberi gambaran terhadap sesuatu.

iii.Memberi gambaran yang sebenar terhadap sesuatu.

Tasawwur juga bererti menghasilkan rupa sesuatu dalam akal. Pengertian kalimah Tasawwur berbeza-beza mengikut disiplin ilmu yang tertentu. Tasawwur di sisi ahli falsafah bermaksud suatu bentuk pemikiran yang tergambar dalam akal manusia mengenai alam dan kehidupan. Ahli psikologi pula berpendapat bahawa Tasawwur ialah menggambarkan tentang suatu perkara di dalam akal tanpa melihat atau berinteraksi dengannya.[1]

Terdapat percubaan untuk memelayukan istilah Tasawwur Islam seperti menterjemahkannya kepada ' Pandangan Hidup Islam' yang merupakan terjemahan istilah Inggeris iaitu Islamic World-View. Walau bagaimanapun Prof. Dr. Harun Din berpendapat adalah lebih baik istilah Tasawwur Islam dikekalkan mengikut sebutan asal bahasa Arab yang maksudnya lebih tepat.[2]

Tasawwur amat penting dalam kehidupan manusia kerana sikap dan tindakan adalah lahir dari tasawwurnya terhadap kehidupan ini. Tasawwur yang betul akan melahirkan tindakan yang betul. Begitu juga jika sebaliknya. Perbezaan tasawwur adalah berpunca daripada banyak aspek antaranya ialah latarbelakang pendidikan yang mempengaruhi penguasaan ilmu seseorang terhadap Islam.

Oleh yang demikian, Islam telah memberi perhatian yang berat terhadap pendidikan. Ini adalah untuk memastikan setiap insan mempunyai tasawwur dan pengetahuan yang jelas terhadap hakikat kehidupan di atas muka bumi ini.



[1] ‘Alī al-Qāsimī, Ahmad Mokhtār ‘Umar, Muhyi al-Dīn Sobīr (1989), al-Mujam al-‘Arabi al-Asāsī, Tunisia: Lārousse, h. 755.

[2] Haron Din (1992), Tasawwur Islam, Shah Alam: Pustaka Hizbi, h. 2

1 comment:

Unknown said...

Tasawwur Islam sepatutnya mengikut kahendak dan tuntutan Al-Quran iaitu ayat Yunus 10:58 فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٌ۬ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ "maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah WAJIBLAH mereka bersukacita kerana (dapat melihat secara impirikal dan rasional) bahawa Kitab Al-Quran itu adalah lebih baik daripada (kitab-kitab) apa yang mereka himpunkan. (Yunus 10:58)".

Ini sepatutnya Tasawwur atau worldview Islam, yg mana bukti impirikal akan kewujudan Tuhan yg esa, perkasa, lagi maha mengetahui. Sekaligus, ianya akan membuatkan para ulama sentiasa sibuk mengkaji ayat2 al-quran utk mnjana ilmu2 baru lagi hebat utk memastikan kitab Al-Quran lebih baik dari kitab sains, lebih baik dari kitab matematiks, lebih baik dari kitab komputer, lebih baik dari kitab falsafah, dan sebagainya. Dengan ini para ulama tidak ada masa utk bergaduh sesama sendiri tentang isu2 remeh-temeh misalnya di mana Allah, sifat2 allah ada tangan, ada wjaha, dan sebagainya.