Wednesday, September 19, 2007

MASALAH SAHSIAH DAN MORAL DI KALANGAN PELAJAR


Alam persekolahan merupakan satu peringkat umur yang mencabar dan paling kritikal. Pelajar mula mencari dan cuba membentuk identiti diri, mencari haluan dan menyemai keyakinan diri bagi menentukan apa yang diingini dapat dicapai. Dalam mencari dan membentuk identiti inilah, mereka yang tersilap langkah akan terjebak ke dalam pelbagai gejala negatif seperti merokok, menagih dadah, pelacuran dan sebagainya.

Beberapa kes berikut yang dipetik dari laporan-laporan media sebagai bukti kepada runcingnya masalah sahsiah pelajar dan remaja di Malaysia secara umum: Tajuk berita dalam Berita Harian berbunyi “Remaja mengaku tidak tahu mengucap”.[1]

Laporan berita dalam Utusan Melayu bertajuk “Jenayah seks Membimbangkan” menceritakan peningkatan masalah tersebut. Lebih membimbangkan, kes-kes tersebut lebih banyak membabitkan golongan remaja di bawah umur. [2]

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail berkata, kajian mendapati 18 peratus daripada 6110 remaja di seluruh negara pernah melakukan hubungan seks bebas (75.1 peratus berusia antara 16 hingga 21 tahun). Kajian juga mendapati 71 peratus remaja yang berumur di antara 13 hingga 21 tahun menghisap rokok, 40 peratus menonton video lucah, 28 peratus terbabit dalam perjudian dan 14 peratus terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Sementara kajian kebangsaan mengenai kesihatan Re-produktif dan seksualiti remaja di Malaysia mendapati 24 peratus remaja berusia 13 hingga 19 tahun pernah melakukan hubungan seks.[3]

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan dari bulan Disember 1998 hingga Oktober 1999 mendapati sebanyak 459 daripada 1560 buah sekolah menengah (SM) harian di seluruh negara menghadapi risiko yang tinggi untuk terdedah kepada salah laku dan jenayah di kalangan pelajarnya.[4]

Menurut pengerusi jawatankuasa aktiviti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamel Afandi Hasyim, di Selangor sahaja, jenayah yang melibatkan pelajar pada Januari – Disember 1999 ialah 213 kes dan bilangan tangkapan 403 orang.

Manakala pada tahun 2000, sebanyak 400 tangkapan membabitkan 256 orang Melayu, 65 orang Cina, 77 orang India, 2 orang perempuan Melayu dan 3 orang perempuan Cina. Peringkat umur mereka yang ditangkap ialah 11 hingga 18 tahun. Namun tidak dapat dinafikan kejadian jenayah dikalangan remaja yang berusia 15 tahun mencapai angka yang tertinggi. Antara jenayah yang dilakukan oleh remaja termasuk menagih dadah, mencuri motorsikal, merompak stesyen minyak, merogol, curi kasut, bergaduh dan pelbagai lagi.[5]

Di negeri Kelantan pula masalah sahsiah dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar dan remaja dilaporkan mencatat peningkatan dari segi kesalahan juvana, iaitu 201 kes pada 1992 kepada 304 kes pada 1993.[6]

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata berlakunya gejala bohsia di kalangan belia di negara ini sekarang disebabkan tidak ada didikan rohani, mereka yang terlibat dalam bohsia berjiwa kosong dan tidak takut kepada Allah.[7]

Kenyataan akhbar mengatakan bahawa remaja Kelantan suka melepak berdasarkan kepada laporan yang di bentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Ghani Othman, remaja Kelantan menghabiskan masa dengan budaya itu 12 jam seminggu. Berdasarkan itu, Kelantan menduduki tangga ke 10 daripada seluruh negeri di negara ini.[8]

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembasmian Jenayah Juvana Peringkat Negeri dan Daerah bagi menangani kes-kes juvana yang membabitkan para pelajar di negeri ini. Sementara itu Jawatankuasa Juvana Jajahan Tumpat telah mengenal pasti remaja berumur 15 tahun ke bawah banyak terlibat dalam kegiatan penagihan dadah, mencuri dan pecah rumah. [9]

Masalah sahsiah dan moral para pelajar di sekolah SMU(A) YIK pula adalah terkawal dan di tahap yang rendah, terdapat juga beberapa masalah salah laku pelajar di sekolah tetapi dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak pentadbiran sekolah. Pihak YIK setakat ini belum menerima laporan berkaitan kes-kes berat yang dilakukan oleh pelajar YIK.[10]

Sementara itu bahagian Hal Ehwal Murid, Yayasan Islam Kelantan sentiasa memantau setiap perkembangan yang berlaku berkaitan dengan disiplin pelajar, rekod disiplin pelajar juga diwujudkan bagi melihat perkembangan setiap pelajar. Kebanyakan kesalahan yang direkodkan ialah kesalahan-kesalahan biasa seperti ponteng kelas, merokok dan beberapa kes budaya vandalisme.[11]

Masalah moral dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja merupakan masalah yang semakin serius, justeru menyebabkan pihak kerajaan telah mengemukakan gagasan KBSM diiringi dengan penggubalan FPN yang menggariskan dengan jelas matlamat pendidikan iaitu membangunkan individu yang seimbang dari semua aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek yang berdasarkan kepada kepatuhan kepada tuhan.Ianya juga untuk menanamkan semangat keislaman kepada pelajar Islam.

Sejarah dan latar belakang pendidikan Islam di Malaysia mempunyai kesan yang besar terhadap Tasawwur Islam kepada masyarakat Melayu Islam dewasa ini. Sukatan pelajarannya yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada tahap pengetahuan agama masyarakat Islam. Terdapat banyak kajian dan kes yang menunjukkan masyarakat Islam tidak mengetahui perkara-perkara asas Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah, hukum halal dan haram, dosa dan pahala serta perbezaan antara ibadat dan adat. Kesemua ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan pengajaran Islam di institusi- institusi pengajian formal atau tidak formal seperti di masjid dan surau.



[1] Berita Harian 7 Mac 1998.

[2] Utusan Melayu, 29 Jun 1995.

[3] Berita Harian, 3 Oktober 1996.

[4] Dewan Masyarakat, Jun 2000

[5] Fokus, bil. 12, Julai 2002, h.14.

[6] Harian Metro, Rabu, 25 Mei 1994.

[7] Utusan Melayu, 22 Oktober 1994.

[8] Harian Metro, Isnin, 27 Jun 1994.

[9] Utusan Melayu, 30 Oktober 1996.

[10] Temubual dengan Us. Mohd Mansur Hj. Daud, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan), Yayasan Islam Kelantan di pejabatnya pada 8 Mei 2003.

[11] Temubual dengan Us. Baharuddin Ishak, Penyelia Hal Ehwal Murid,Yayasan Islam Kelantan di pejabatnya pada 8 Mei 2003.

No comments: