Wednesday, September 19, 2007

PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan dalam bahasa Arab disebut “tarbiah”, yang asalnya membawa makna; pertambahan, perkembangan dan ketinggian. Perkataan “tarbiah” berasal dari kata kerja “rabba” yang antara maknanya ialah; memperbaiki, memimpin dan mentadbir. Menurut ahli bahasa, “tarbiah” bererti; membangun sesuatu secara tahap demi tahap menuju kepada kesempurnaan. Salah satu dari nama Allah ialah “al-Rabb” ; kerana yang mengawal, mengislah, mentadbir dan mengarahkan makhluk kepada kesempurnaan ialah Allah. Semuanya ini merupakan inti dari pendidikan. Oleh sebab itu “Rabb al-‘ālamīn” ditafsirkan sebagai “Murabb al-‘ālamīn” (Pendidik Seluruh Alam), dan Allah s.w.t ialah “Pendidik yang Teragung”, jadi perkataan “tarbiah” mengandungi dua unsur terpenting ; iaitu pertambahan dan pembaikan hingga ke tahap kesempurnaan.[1]

Dalam memberi pengertian mengenai pendidikan Islam, para ulama’ telah berusaha meletakkan asas kepada pengertian pendidikan Islam antaranya ialah pandangan Dr. Yusof al-Qardhāwi yang mengatakan bahawa pendidikan Islam ialah pendidikan manusia seutuhnya, akal dan hatinya, rohani dan jasmaninya, akhlak dan ketrampilannya.[2]

Hasan al-Syarqāwī menyatakan bahawa para sarjana Islam telah berselisih pandangan mengenai pendidikan Islam, adakah ia terbatas kepada pendidikan formal atau satu aspek umum yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam. Beliau seterusnya menyatakan bahawa pendidikan Islam merangkumi dua aspek utama, iaitu;

i. Prinsip umum yang berkaitan dengan pendidikan umum (tarbiah)

ii. Prinsip khas yang berkaitan dengan pengajian ilmu (ta‘līm)[3]

Prinsip pertama ialah program pendidikan umum yang berkaitan dengan seluruh aspek kehidupan masyarakat muslim, ia tiada sempadan masa dan tempat. Pendidikan ini wujud di mana sahaja samada di institusi pendidikan, di rumah serta dalam semua aktiviti masyarakat muslim.

Prinsip kedua ialah pendidikan khas yang hanya terbatas kepada pengajian ilmu atau pengajian Islam yang merupakan salah satu cabang pemikiran Islam. Ia merangkumi penyediaan program pengajian, pemilihan subjek, meletakkan sasaran di setiap peringkat pengajian, perbahasan tentang pentadbiran institusi, metodologi pendidikan, persekitaran serta aspek-aspek berkaitan. [4]

Setelah diteliti pengertian-pengertian tersebut, dapatlah disimpul bahawa pendidikan Islam adalah suatu proses yang dilalui oleh seseorang melalui bimbingan secara formal atau tidak formal untuk mencapai kesempurnaan membentuk keperibadian muslim yang unggul berdasarkan ajaran Islam bagi meneruskan kesinambungan generasi muslim.[5]

Pendidikan Islam adalah tanggungjawab kerajaan dan terletak di bawah kekuasaan Raja-Raja Melayu. Perkara ini telah ditegaskan oleh Perlembagaan Malaysia (Bah.1 Perkara 3) bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara dan hal-hal yang berkaitan dengan urusan agama Islam adalah di bawah kekuasaan Raja-Raja Melayu.[6] Oleh itu kerajaan berhak mengad\akan anggaran belanjawan khusus bagi mengatur pendidikan dan pengajaran agama Islam serta mewujudkan yayasan-yayasan Islam untuk tujuan menyebarkan agama dan pendidikan Islam di sekolah dan di dalam masyarakat.[7]



[1] Wan Zahidi bin Wan Teh (1986), Identiti dan Kandungan Pendidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur: Percetakan Sais Baru Sdn. Bhd., h. 1-2

[2] Yusof al-Qardhāwī (1980), Pendidikan Islam Dan Madrasah Hasan al-Bannā, Jakarta: Cet. Bulan Bintang, h. 39

[3] Hasan al-Syarqāwī (1983), Nahwa al-Tarbiyyah al-Islāmiyyah, Iskandariah: Muassasah al-Syabāb al-Jāmi‘ah, h. 9-11

[4] Ibid, h, 11.

[5] Ibid.

[6] Perlembagaan Persekutuan (1996), Bah. 1 Perkara 3, Kuala Lumpur: International Law Book Services.

[7] Mohammad Suffian bin Hashim (1984), Mengenal Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h. 208.

No comments: