Wednesday, September 19, 2007

Konsep akhlak dalam Islam


Islam telah meletakkan akhlak ke tahap yang paling utama bermula daripada individu perseorangan, perhubungan antara manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan antara negara dan perhubungan manusia dengan makhluk Allah yang lain.

Perkataan akhlak dalam bahasa Arab bermaksud fitrah manusia atau sesuatu yang melahirkan sifat atau perangai semulajadi manusia dalam bentuk lurus dan teratur.[1]

Menurut al-Imām al-Ghazāli dalam kitabnya ‘Ihyā’ ‘Ulūmuddīn’: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang melahirkan tingkahlaku dengan mudahnya tanpa berhajat kepada berfikir atau teragak-agak. Jika yang lahir tingkahlaku yang baik dan terpuji menurut akal dan syariat bererti ianya lahir dari akhlak yang terpuji. Sebaliknya jika tingkahlaku yang jahat dan keji menurut akal dan syariat bererti ianya lahir dari akhlak yang keji.[2]

Mengikut Dr. Jamil Saliba, akhlak dari segi bahasa bererti adat kebiasaan, perangai, kehormatan dan agama. Akhlak di kalangan Qudama’ menurut beliau ialah suatu sifat bersih dari jiwa yang dapat melakukan tindak tanduk dengan mudah tanpa memerlukan pandangan dan fikiran serta tiada paksaan.[3] Prof. Ahmad Amin pula menyatakan bahawa ; “Akhlak adalah merupakan suatu ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk”.[4]

Akhlak Islam adalah berteraskan iman kepada Allah yang Maha Esa. Islam menganjurkan supaya berbuat baik dan meninggalkan perkara yang keji. Akhlak Islam adalah bersumberkan kepada al-Quran dan al-Hadith.



[1] ‘Ali Fadhlullāh (t.t), al-Akhlāk al-Islāmiah, Maktabah Dār al-Hayāt, h. 4.

[2] Al-Ghazāli (t.t), op.cit., juz. 3, h.53.

[3] Jamil Saliba (1971), op.cit, h. 49.

[4] Ahmad Amin (1975), al-Akhlāk, terjemahan oleh Prof. K.H.Farid Ma’aruf, Ethika Ilmu Akhlak, Jakarta: cetakan Bulan Bintang, h. 15.

No comments: