Wednesday, September 19, 2007

PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan dalam bahasa Arab disebut “tarbiah”, yang asalnya membawa makna; pertambahan, perkembangan dan ketinggian. Perkataan “tarbiah” berasal dari kata kerja “rabba” yang antara maknanya ialah; memperbaiki, memimpin dan mentadbir. Menurut ahli bahasa, “tarbiah” bererti; membangun sesuatu secara tahap demi tahap menuju kepada kesempurnaan. Salah satu dari nama Allah ialah “al-Rabb” ; kerana yang mengawal, mengislah, mentadbir dan mengarahkan makhluk kepada kesempurnaan ialah Allah. Semuanya ini merupakan inti dari pendidikan. Oleh sebab itu “Rabb al-‘ālamīn” ditafsirkan sebagai “Murabb al-‘ālamīn” (Pendidik Seluruh Alam), dan Allah s.w.t ialah “Pendidik yang Teragung”, jadi perkataan “tarbiah” mengandungi dua unsur terpenting ; iaitu pertambahan dan pembaikan hingga ke tahap kesempurnaan.[1]

Dalam memberi pengertian mengenai pendidikan Islam, para ulama’ telah berusaha meletakkan asas kepada pengertian pendidikan Islam antaranya ialah pandangan Dr. Yusof al-Qardhāwi yang mengatakan bahawa pendidikan Islam ialah pendidikan manusia seutuhnya, akal dan hatinya, rohani dan jasmaninya, akhlak dan ketrampilannya.[2]

Hasan al-Syarqāwī menyatakan bahawa para sarjana Islam telah berselisih pandangan mengenai pendidikan Islam, adakah ia terbatas kepada pendidikan formal atau satu aspek umum yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam. Beliau seterusnya menyatakan bahawa pendidikan Islam merangkumi dua aspek utama, iaitu;

i. Prinsip umum yang berkaitan dengan pendidikan umum (tarbiah)

ii. Prinsip khas yang berkaitan dengan pengajian ilmu (ta‘līm)[3]

Prinsip pertama ialah program pendidikan umum yang berkaitan dengan seluruh aspek kehidupan masyarakat muslim, ia tiada sempadan masa dan tempat. Pendidikan ini wujud di mana sahaja samada di institusi pendidikan, di rumah serta dalam semua aktiviti masyarakat muslim.

Prinsip kedua ialah pendidikan khas yang hanya terbatas kepada pengajian ilmu atau pengajian Islam yang merupakan salah satu cabang pemikiran Islam. Ia merangkumi penyediaan program pengajian, pemilihan subjek, meletakkan sasaran di setiap peringkat pengajian, perbahasan tentang pentadbiran institusi, metodologi pendidikan, persekitaran serta aspek-aspek berkaitan. [4]

Setelah diteliti pengertian-pengertian tersebut, dapatlah disimpul bahawa pendidikan Islam adalah suatu proses yang dilalui oleh seseorang melalui bimbingan secara formal atau tidak formal untuk mencapai kesempurnaan membentuk keperibadian muslim yang unggul berdasarkan ajaran Islam bagi meneruskan kesinambungan generasi muslim.[5]

Pendidikan Islam adalah tanggungjawab kerajaan dan terletak di bawah kekuasaan Raja-Raja Melayu. Perkara ini telah ditegaskan oleh Perlembagaan Malaysia (Bah.1 Perkara 3) bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara dan hal-hal yang berkaitan dengan urusan agama Islam adalah di bawah kekuasaan Raja-Raja Melayu.[6] Oleh itu kerajaan berhak mengad\akan anggaran belanjawan khusus bagi mengatur pendidikan dan pengajaran agama Islam serta mewujudkan yayasan-yayasan Islam untuk tujuan menyebarkan agama dan pendidikan Islam di sekolah dan di dalam masyarakat.[7]



[1] Wan Zahidi bin Wan Teh (1986), Identiti dan Kandungan Pendidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur: Percetakan Sais Baru Sdn. Bhd., h. 1-2

[2] Yusof al-Qardhāwī (1980), Pendidikan Islam Dan Madrasah Hasan al-Bannā, Jakarta: Cet. Bulan Bintang, h. 39

[3] Hasan al-Syarqāwī (1983), Nahwa al-Tarbiyyah al-Islāmiyyah, Iskandariah: Muassasah al-Syabāb al-Jāmi‘ah, h. 9-11

[4] Ibid, h, 11.

[5] Ibid.

[6] Perlembagaan Persekutuan (1996), Bah. 1 Perkara 3, Kuala Lumpur: International Law Book Services.

[7] Mohammad Suffian bin Hashim (1984), Mengenal Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h. 208.

Tanggapan Salah Terhadap Islam

Ajaran Islam sering disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak samada daripada bukan Islam maupun masyarakat Islam sendiri yang cetek ilmu pengetahuan dan tidak mempunyai tasawwur yang jelas tentang Islam. Islam sering ditohmah oleh bukan Islam sebagai agama yang keras, keterlaluan, sering dikaitkan dengan keganasan dan kekejaman. Salah faham ini meliputi pelbagai aspek dan diserang dari semua sudut sehingga menyebabkan umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas tersebut.

Pendidikan negara mampu melahirkan masyarakat yang utuh melalui pemikiran saintifik yang ditanam ke dalam jiwa pelajar. Dalam perakuan yang diperuntukkan dalam laporan Razak (1959),laporan Rahman Talib (1960) serta falsafah pendidikan negara yang terdapat suatu kecenderungan bagi mengukuhkan kedudukan pendidikan Islam iaitu supaya dapat mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh bagi membolehkan mereka menjadi manusia yang berilmu, beriman, berakhlak dan beramal.

Perkara ini juga jelas termaktub di dalam Ordinan Pendidikan 1957, dan diulang di dalam kata pengantar Akta Pendidikan 1961 yang berbunyi:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”[1]

Untuk melahirkan insan yang berilmu dan bertakwa kepada Allah Yang Maha Esa, serta luhur sahsiahnya haruslah diselenggarakan melalui sistem pendidikan Islam yang berfungsi semenjak alam persekolahan .

Tasawwur Islam berkait rapat dengan sahsiah dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang jelas matlamat hidup mengikut konsep tasawwur Islam sepatutnya mempunyai keperibadian yang baik begitu jugalah sebaliknya.

Alam persekolahan merupakan satu peringkat umur yang mencabar dan paling kritikal. Pelajar mula mencari dan cuba membentuk identiti diri, mencari haluan dan menyemai keyakinan diri bagi menentukan apa yang diingini dapat dicapai. Dalam mencari dan membentuk identiti inilah, mereka yang tersilap langkah akan terjebak ke dalam pelbagai gejala negatif seperti merokok, menagih dadah, pelacuran dan sebagainya.



[1] Ee Ah Meng (1997), Pendidikan di Malaysia 1, Falsafah Pendidikan Guru dan Sekolah, cet. II, Shah Alam, Selangor: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., h. 98.

Mafhum Sahsiah


Sahsiah ialah satu proses mental individu yang menentukan tindak balas tersebut dalam kehidupannya dan ketetapan rasa hati serta perasaan individu. Ia juga memberi makna kesediaan mental yang tersusun daripada pengalaman yang dapat mempengaruhi tindakbalas individu.[1]

Sahsiah adalah diertikan juga dengan akhlak yang bermaksud adat kebiasaan, perangai kehormatan dan agama. Menurut Dr. Jamil Saliba: ”Akhlak pada pandangan Qudama’ ialah suatu sifat bersih dari jiwa yang dapat melakukan tindak tanduk dengan mudah tanpa memerlukan pandangan atau fikiran serta tiada paksaan.[2]

Al-Imām al-Ghazāli[3] pula mendefinesikannya seperti berikut:

الخلق عبارة عن هيئة راسخة فىالنفس تصدر عنها الأفعال سهولة ويسرمن غير حاجة الى فكر وروية

Bermaksud: “ahklak ialah suatu sifat yang terdapat dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu.[4]

Sekiranya daya penggerak itu melakukan perbuatan yang elok dan terpuji berasaskan fikiran yang waras dan mengikut undang-undang syara‘ maka ia dikatakan akhlak yang baik, apabila daya penggerak itu melahirkan perbuatan jahat (buruk) maka ia dikatakan akhlak yang buruk.[5]



[1] Ahmad Yunus bin Kasim, “Matapelajaran Elektif Tasawwur Islam (KBSM): Kesannya Terhadap Perubahan Sikap Pelajar-pelajar Sekolah-sekolah Menengah Daerah Seremban”, Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia 2000, h. 18.

[2] Jamil Saliba (1971), al-Mujam al-Falsaf, c. 7, Lubnan: Dār al-Kitāb, h.49

[3] Beliau ialah Abū Hāmid Muhammad b. Muhammad al-Ghazāli, dilahirkan pada tahun 450H. di negeri Tūs. Meninggal dunia pada hari Isnin, 14 Jamadil Akhir 505H.

[4] Abū Hāmid Muhammad b. Muhammad al-Ghazāli (t.t), Ihyā’ Ulūmuddin, juz. 3, Beirut: Dār al-Ma‘rifah, h. 53.

[5] Ibid. h. 53

Pengertian Islam

Islam adalah berasal dari perkataan Arab yang memberi makna penyerahan diri, ketaatan dan kepatuhan. Sebagai agama, Islam merupakan penyerahan diri secara total kepada Allah s.w.t. Ajaran Islam memerintah umatnya taat kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya.[1]

Terdapat pelbagai takrif Islam yang telah diberikan oleh para sarjana Islam bersandarkan kepada nas-nas dari al-Quran dan as-Sunnah.

Secara umumnya bolehlah ditafsirkan sebagai sistem kepercayaan, penyembahan, akhlak dan sebagainya yang sering kali melibatkan aspek etika tatasusila dan falsafah. Islam juga merupakan sebagai kaedah sosial dan tatasusila yang lengkap.[2]

Mengikut Dr. ‘Abdul Karīm Zaidān dalam kitabnya Usūl al-Dawah,[3] Islam bermaksud;

i- Mengucap Dua Kalimah Syahadah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan Haji.

ii- Ketundukan, kepatuhan dan penyerahan diri yang mutlak kepada Allah s.w.t. secara sukarela atau paksaan.

Ini berdasarkan firman Allah Taala:

Surah Āli ‘Imrān (3): 83

Bermaksud: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.[4]

Terjemahan Surah Āli ‘Imrān (3): 83

Menurut Hassan Ayyub, Islam dari sudut syarak ialah kepatuhan, ketundukan diri dan ketenangan hati serta penerimaan setiap ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.[5]

Pengertian Islam secara umum dan menyeluruh seperti yang digariskan oleh Islam sendiri iaitu penyerahan diri kepada Allah. Oleh itu Islam ialah melahirkan iman dan menyatakannya secara praktikal dengan ikrar Shahadah, mengerjakan ibadat dan melaksanakan hukum-hukum syarak dalam semua aspek kehidupan.[6]



[1] Abu al-A‘la al-Maududi (tt), Towards Understanding Islam, Terj. Elwin Siregar, Dasar Akidah Islam, Jakarta: Media Dakwah, h. 18.

[2] Muhammad Al-Buraey (1992), Pembangunan Pentadbiran Menurut Perspektif Islam, Terj.Abdullah Md. Nor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, h.4

[3] ‘Abdul Karim Zaidān (1991), Uşūl al-Dawah, Baghdad: Dār al-Wafā’, h. 9

[4] Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih (2000), op.cit., h. 114.

[5] Hassān Ayyūb (1980), Tabsūt al-‘Aqā’id al-Islāmiyyah, Kuwait: Dār al-Qur’ān al-Karīm, h. 41.

[6] Ahmad bin Haji Mohd Salleh (1984), Kursus Pendidikan Islam, cet. I, Kota Bharu, Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., h. 3.

Pengertian Tasawwur Islam

Istilah Tasawwur Islam adalah merupakan satu ungkapan yang tidak asing lagi dalam penggunaan masyarakat Islam di Malaysia. Tasawwur bermaksud suatu gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara. Perkataan ini berasal dari kalimah Arab yang memberi beberapa maksud;

i.Suatu tanggapan terhadap rupa sesuatu yang dapat dikhayalkan.

ii.Cuba memberi gambaran terhadap sesuatu.

iii.Memberi gambaran yang sebenar terhadap sesuatu.

Tasawwur juga bererti menghasilkan rupa sesuatu dalam akal. Pengertian kalimah Tasawwur berbeza-beza mengikut disiplin ilmu yang tertentu. Tasawwur di sisi ahli falsafah bermaksud suatu bentuk pemikiran yang tergambar dalam akal manusia mengenai alam dan kehidupan. Ahli psikologi pula berpendapat bahawa Tasawwur ialah menggambarkan tentang suatu perkara di dalam akal tanpa melihat atau berinteraksi dengannya.[1]

Terdapat percubaan untuk memelayukan istilah Tasawwur Islam seperti menterjemahkannya kepada ' Pandangan Hidup Islam' yang merupakan terjemahan istilah Inggeris iaitu Islamic World-View. Walau bagaimanapun Prof. Dr. Harun Din berpendapat adalah lebih baik istilah Tasawwur Islam dikekalkan mengikut sebutan asal bahasa Arab yang maksudnya lebih tepat.[2]

Tasawwur amat penting dalam kehidupan manusia kerana sikap dan tindakan adalah lahir dari tasawwurnya terhadap kehidupan ini. Tasawwur yang betul akan melahirkan tindakan yang betul. Begitu juga jika sebaliknya. Perbezaan tasawwur adalah berpunca daripada banyak aspek antaranya ialah latarbelakang pendidikan yang mempengaruhi penguasaan ilmu seseorang terhadap Islam.

Oleh yang demikian, Islam telah memberi perhatian yang berat terhadap pendidikan. Ini adalah untuk memastikan setiap insan mempunyai tasawwur dan pengetahuan yang jelas terhadap hakikat kehidupan di atas muka bumi ini.



[1] ‘Alī al-Qāsimī, Ahmad Mokhtār ‘Umar, Muhyi al-Dīn Sobīr (1989), al-Mujam al-‘Arabi al-Asāsī, Tunisia: Lārousse, h. 755.

[2] Haron Din (1992), Tasawwur Islam, Shah Alam: Pustaka Hizbi, h. 2

Pengertian Tasawwur Islam

Istilah Tasawwur Islam adalah merupakan satu ungkapan yang tidak asing lagi dalam penggunaan masyarakat Islam di Malaysia. Tasawwur bermaksud suatu gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara. Perkataan ini berasal dari kalimah Arab yang memberi beberapa maksud;

i.Suatu tanggapan terhadap rupa sesuatu yang dapat dikhayalkan.

ii.Cuba memberi gambaran terhadap sesuatu.

iii.Memberi gambaran yang sebenar terhadap sesuatu.

Tasawwur juga bererti menghasilkan rupa sesuatu dalam akal. Pengertian kalimah Tasawwur berbeza-beza mengikut disiplin ilmu yang tertentu. Tasawwur di sisi ahli falsafah bermaksud suatu bentuk pemikiran yang tergambar dalam akal manusia mengenai alam dan kehidupan. Ahli psikologi pula berpendapat bahawa Tasawwur ialah menggambarkan tentang suatu perkara di dalam akal tanpa melihat atau berinteraksi dengannya.[1]

Terdapat percubaan untuk memelayukan istilah Tasawwur Islam seperti menterjemahkannya kepada ' Pandangan Hidup Islam' yang merupakan terjemahan istilah Inggeris iaitu Islamic World-View. Walau bagaimanapun Prof. Dr. Harun Din berpendapat adalah lebih baik istilah Tasawwur Islam dikekalkan mengikut sebutan asal bahasa Arab yang maksudnya lebih tepat.[2]

Tasawwur amat penting dalam kehidupan manusia kerana sikap dan tindakan adalah lahir dari tasawwurnya terhadap kehidupan ini. Tasawwur yang betul akan melahirkan tindakan yang betul. Begitu juga jika sebaliknya. Perbezaan tasawwur adalah berpunca daripada banyak aspek antaranya ialah latarbelakang pendidikan yang mempengaruhi penguasaan ilmu seseorang terhadap Islam.

Oleh yang demikian, Islam telah memberi perhatian yang berat terhadap pendidikan. Ini adalah untuk memastikan setiap insan mempunyai tasawwur dan pengetahuan yang jelas terhadap hakikat kehidupan di atas muka bumi ini.



[1] ‘Alī al-Qāsimī, Ahmad Mokhtār ‘Umar, Muhyi al-Dīn Sobīr (1989), al-Mujam al-‘Arabi al-Asāsī, Tunisia: Lārousse, h. 755.

[2] Haron Din (1992), Tasawwur Islam, Shah Alam: Pustaka Hizbi, h. 2

Pembangunan Pendidikan

Golongan pelajar adalah merupakan aset yang amat penting dan merupakan salah satu sumber tenaga manusia yang asas bagi negara yang sedang membangun.

Pembangunan dalam bidang pendidikan adalah merupakan usaha untuk memajukan kehidupan dan meningkatkan kualiti manusia. Begitu juga pendidikan nasional di negara kita Malaysia yang bertujuan untuk memantapkan kehidupan bangsa dan meninggikan kualiti masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang maju, berwawasan dan makmur. Dengan ini membolehkan warganya mengembangkan idea, baik di sudut jasmani ataupun rohani.

Justeru, Malaysia yang sedang menuju ke arah negara maju perlu mengimbangi antara pendidikan sains, teknologi maklumat dan pembangunan manusia. Pemikiran saintifik sememangnya wajar ditanam ke dalam jiwa pelajar supaya mempunyai pendekatan kritis terhadap sejarah masa lampau dan pendekatan masa kini. Namun kepercayaan yang berlebihan terhadap penerokaan dan kajian sendiri sehingga mengurangkan kepercayaan terhadap wahyu adalah sangat merbahaya menurut tasawwur Islam.

Islam telah memberikan penekanan yang begitu berat terhadap pendidikan supaya manusia mempunyai tasawwur dan pengetahuan yang jelas terhadap kehidupan ini. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadith yang amat mengambil berat terhadap ilmu pengetahuan dan aspek pendidikan. Terdapat banyak dalil-dalil dari al-Qur'an dan as-Sunnah yang memberi penekanan terhadap aspek pendidikan.

Ayat yang pertama diturunkan kepada baginda Rasulullah (s.a.w) adalah berkaitan dengan aspek asas ilmu pengetahuan dan pendidikan ; iaitu membaca dengan nama Allah tuhan yang menjadikan manusia sebagaimana firman Allah taala:

Surah al-‘Alaq (96): 1

Bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”.[1]

Terjemahan Surah al-‘Alaq (96): 1

Setiap muslim adalah bertanggungjawab mempunyai tasawwur yang jelas, lengkap dan menyeluruh terhadap kehidupan ini, bagi mentafsir dan berinteraksi secara berkesan dengan sistem dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah Taala. Setiap muslim mesti memahami hubungan antara hakikat uluhiyyah (ketuhanan) dan rububiyyah (penghambaan) untuk memahami kedudukan manusia di dunia, matlamat kewujudan dan peranan manusia dalam kehidupan. Tasawwur yang jelas ini mestilah berpandukan kepada sumber yang sahih iaitu Al-Quran dan Al-Hadith untuk dijadikan manhaj (panduan) dan sistem dalam kehidupan.



[1] Syeikh Abdullah bin Muhammad Basmeih (2000), Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an, Kuala Lumpur: Dār al-Fikr, h. 1412.